by Oh! Semput
Cubaan seorang lelaki mengelak seekor haiwan yang dipercayai melintas jalan mengakibatkan kereta dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas dan terjunam ke Sungai Langat berhampiran Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Dusun Tua, Hulu Langat, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 9.13 malam.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati pemandu berusia 56 tahun itu sedang dalam perjalanan dari Sungai Congkak menuju ke Nilai sebelum insiden berlaku ketika melalui Jalan Hulu Langat.
Katanya, mangsa mendakwa ternampak satu objek yang dipercayai haiwan melintas dari arah kiri ke kanan jalan. Dalam usaha mengelak objek berkenaan, kenderaan yang dipandunya dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sebelum terjatuh ke dalam Sungai Langat.
Walaupun kejadian itu mengakibatkan kerosakan pada kenderaan, pemandu terbabit dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan. Polis turut mengesahkan insiden tersebut tidak melibatkan kenderaan lain mahupun kerosakan terhadap harta benda awam.
Naazron berkata, kes diklasifikasikan sebagai laporan trafik biasa memandangkan tiada unsur jenayah atau kemalangan yang melibatkan pihak lain.
Beliau turut memaklumkan bahawa kejadian itu merupakan antara insiden yang dilaporkan di lokasi berkenaan, justeru pengguna jalan raya dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika melalui laluan tersebut, khususnya pada waktu malam.
Menurutnya, sekiranya pemandu terserempak dengan haiwan atau sebarang halangan di atas jalan, mereka disaran memperlahankan kenderaan secara beransur-ansur dan mengelakkan tindakan membelok atau mengelak secara mengejut kerana ia boleh menyebabkan kenderaan hilang kawalan serta meningkatkan risiko kemalangan yang lebih serius.
Elak Haiwan Melintas, Kereta Terjunam ke Sungai Langat first appeared on #1 The News Malaysia.