by Oh! Semput
Satu lagi produk yang mencuri perhatian dalam Galaxy Unpacked tahun ini ialah cermin mata pintar hasil kerjasama antara Samsung dan Google. Samsung memperkenalkan dua rekaan berbeza untuk kaca mata Android XR dengan masing‑masing membawa falsafah reka bentuk dan identiti jenama optik yang tersendiri. Pendekatan ini menunjukkan usaha Samsung untuk menggabungkan teknikal dengan elemen fesyen yang lebih matang sekali gus menjadikan teknologi XR lebih mudah diterima sebagai aksesori harian.

Ketika sesi bersama media, saya berpeluang melihat dan memegang kedua‑dua variasi yang dibangunkan melalui kerjasama Samsung dengan Gentle Monster dan Warby Parker. Setiap bingkai membawa identiti reka bentuk yang berbeza, namun kedua‑duanya jelas menunjukkan usaha Samsung untuk menggabungkan teknologi dengan gaya yang sesuai dipakai setiap hari di mana sesuatu yang turut ditekankan oleh Samsung dalam pembentangan mereka.
Cermin mata pintar ini sebelum ini hanya diperlihatkan secara ringkas di Google I/O tetapi unit yang dipamerkan kali ini merupakan versi yang lebih lengkap dan hampir menyerupai bentuk akhir produk. Walaupun masih belum berfungsi sepenuhnya dan saya tidak dibenarkan mencuba perisian atau ciri XR, sesi ini tetap memberi peluang untuk meneliti aspek fizikal dengan lebih dekat. Secara jujur, sebagai orang yang berpeluang memegang model sebenar ini, saya cukup tertarik dengan kualiti binaan dan kemasan yang ditampilkan.

Pada pengamatan saya, Gentle Monster menampilkan reka bentuk yang lebih berani dan moden melalui penggunaan bingkai tebal serta kemasan berkilat yang menjadi identiti fesyen mereka. Gaya yang menonjol bersama bentuk yang moden dan sedikit luar kebiasaan, jelas mencerminkan DNA jenama tersebut. Pengaruh fesyen Korea turut terserlah, sekali gus menjadikan kaca mata ini kelihatan seperti aksesori fesyen mewah dan bukan sekadar kaca mata harian.


Ketebalan bingkai ini bukan sekadar pilihan gaya, tetapi ruang penting untuk menempatkan komponen dalaman seperti bateri, papan litar, mikrofon dan modul kamera kecil yang disusun dengan teliti di dalam struktur bingkai. Bahagian hadapan yang lebih tebal memberi ruang untuk kamera mikro yang ditempatkan di atas lensa, manakala sensor lain disembunyikan di bawah lapisan hitam pada sisi kiri tanpa menjejaskan keseluruhan reka bentuk.

Selain kamera dan sensor, kaca mata ini turut menempatkan pembesar suara kecil yang menghala terus ke arah telinga pada bahagian dalam sisi bingkai. Komponen audio ini membolehkan pengguna mendengar arahan suara atau notifikasi tanpa menutup telinga, menjadikan pengalaman penggunaan lebih semula jadi. Kehadiran pembesar suara juga menjelaskan mengapa bahagian sisi bingkai direka sedikit lebih tebal namun ketika saya memegang keseluruhan bingkai masih terasa seimbang dan tidak berat pada satu bahagian.

Pada pandangan ringkas saya, keseimbangan antara ketebalan bingkai dan beratnya menunjukkan bahawa Gentle Monster menitikberatkan keselesaan harian. Reka bentuknya juga tidak terasa gimik atau terlalu futuristik kerana ia masih kelihatan seperti kaca mata sebenar cuma dengan fungsi tambahan. Walaupun nipis dan ringan, bingkai ini tetap terasa kukuh ketika saya pegang. Samsung turut menekankan bahawa kaca mata ini melalui jaminan kualiti setaraf peranti mudah alih maka secara logiknya ia sepatutnya mampu menahan jatuh biasa.


Sebagai pilihan tambahan, terdapat juga variasi bingkai berbentuk segi empat dengan lensa jernih yang memberikan penampilan lebih teknikal namun masih mengekalkan sentuhan moden yang menjadi ciri khas jenama tersebut. Turut menarik perhatian ialah bekas simpanan Gentle Monster yang hadir dengan rekaan sepadan dengan karakter bingkai kacanya yang bold. Bahagian luarnya terasa kukuh yang menandakan bahawa ia direka bukan hanya sebagai bekas simpanan tetapi juga sebagai aksesori gaya.



Di bahagian dalam, ruang penyimpanan turut disusun dengan kemas untuk menempatkan kaca mata serta modul pengecasan, manakala keseluruhan bekas terasa berkualiti tinggi ketika dipegang. Ia tidak terlalu berat malah cukup untuk memberikan rasa premium. Pada bahagian belakang, terdapat port USB‑C untuk tujuan pengecasan.


Berbeza dengan variasi Gentle Monster, bingkai Warby Parker menampilkan gaya minimalis yang nipis, ringan dan ringkas. Identiti jenama ini terserlah melalui garis bentuk yang klasik, kemasan pusam serta palet warna yang sederhana, menghasilkan rupa keseluruhan yang tidak berlebihan. Melihat pada penampilannya, kaca mata Warby Parker benar‑benar kelihatan seperti kaca mata harian biasa tanpa elemen fesyen yang cuba bereksperimen secara agresif.



Pada model Warby Parker juga, terdapatnya pembesar suara kecil yang menghala terus ke telinga, kamera terbina, sensor tambahan, butang kawalan halus serta peluncur kecil di bahagian dalam bingkai. Semua komponen ini disatukan dalam reka bentuk yang kekal minimal tanpa menonjolkan teknologi secara keterlaluan. Pendekatan ini menjadikan kaca mata tersebut terasa lebih semula jadi untuk dipakai sebagai kaca mata harian. Berbeza dengan Gentle Monster, Warby Parker tidak disertakan dengan bekas simpanan khusus.
Untuk spesifikasi, cermin mata pintar Samsung ini menggunakan cip Snapdragon AR1 Gen 1 dan kamera mikro untuk rakaman pandangan pertama serta analisis visual asas. Ia turut menyokong ciri Gemini AI seperti terjemahan masa nyata, navigasi, ringkasan notifikasi dan pengurusan tugasan harian. Melalui integrasi penuh dengan ekosistem Galaxy, pengguna boleh berinteraksi dengan peranti Galaxy lain dengan lebih lancar tanpa perlu menyentuh telefon. Dari segi ketahanan, baterinya mampu bertahan sehingga 9 jam bagi satu cas penuh, manakala bekas pengecas menyediakan sehingga tujuh cas tambahan untuk penggunaan berpanjangan.


Saya berpendapat bahawa kerjasama antara Google dan Samsung dalam membangunkan cermin mata pintar generasi baharu ini menunjukkan pendekatan yang lebih matang terhadap integrasi teknologi dalam aksesori harian. Tidak seperti set kepala realiti terimbuh yang lazimnya besar dan kompleks, cermin mata pintar ini direka sebagai sambungan langsung kepada telefon pintar Galaxy yang dipasangkan dengannya.
Dari sudut pasaran, penerimaan terhadap kaca mata pintar kini lebih berhati‑hati. Walaupun Ray‑Ban Meta telah lama berada di pasaran, keyakinan pengguna sedikit terjejas selepas beberapa isu keselamatan dan privasi mendapat perhatian umum, khususnya berkaitan ciri rakaman. Dalam konteks ini, pendekatan Samsung kelihatan lebih realistik. Mereka tidak cuba menjadikan kaca mata pintar sebagai pengganti telefon, sebaliknya memposisikannya sebagai pelengkap yang memudahkan urusan harian.