by Oh! Semput
Polis mengesahkan lelaki yang tular mengamuk di sebuah stesen minyak di Jalan Payamas sehingga melanggar pam minyak dan beberapa kemudahan lain merupakan seorang pesakit yang mempunyai masalah kesihatan mental serta sedang menjalani rawatan psikiatri.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, siasatan awal mendapati lelaki berusia 31 tahun itu tidak mengambil ubat yang dibekalkan Hospital Tangkak sejak beberapa hari sebelum kejadian, dipercayai menjadi punca tingkah lakunya di luar kawalan.
Beliau berkata, hasil semakan terhadap rakaman video yang tular menunjukkan lelaki terbabit berada dalam keadaan tidak waras ketika berlari di sekitar stesen minyak dan melanggar beberapa objek termasuk pam minyak.
Menurutnya, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 3 petang sebelum ahli keluarga mangsa tampil membuat laporan polis pada malam hari yang sama.
Roslan memaklumkan bahawa lelaki berkenaan merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) dan menerima rawatan psikiatri di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar. Malah, adik mangsa turut mengesahkan dalam laporan polis bahawa abangnya telah lama menghidap masalah kesihatan mental.
Dalam insiden itu, seorang pelanggan yang sedang mengisi petrol turut dilanggar oleh lelaki terbabit, namun tiada kecederaan dilaporkan. Kejadian juga tidak menyebabkan kebakaran atau letupan walaupun berlaku berhampiran pam minyak.
Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung kejadian berkenaan kerana siasatan mendapati ia melibatkan isu kesihatan mental dan bukannya perlakuan jenayah.
Terdahulu, rakaman video berdurasi 33 saat yang memaparkan seorang lelaki memakai pakaian pekerja pembersihan berlari dalam keadaan tidak terkawal sambil melanggar tong sampah, pam minyak dan seorang pelanggan di stesen minyak berkenaan tular di media sosial sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Lelaki Mengamuk di Stesen Minyak Disahkan Alami Masalah Mental, Tidak Ambil Ubat first appeared on #1 The News Malaysia.