by Oh! Semput
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan tiga lelaki etnik Rohingya yang disyaki menggunakan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) palsu dalam Operasi Mega Bersepadu yang dijalankan di sekitar Kota Bharu hari ini.
Pengarah JIM Kelantan, Garry Belayong John Siki berkata, penahanan dibuat selepas pemeriksaan terhadap kad UNHCR yang dibawa oleh ketiga-tiga individu itu mendapati berlaku ketidakpadanan maklumat apabila kod respons pantas (QR) diimbas.
Menurut beliau, semakan sistem mendapati data biometrik termasuk gambar serta maklumat peribadi yang dipaparkan tidak sepadan dengan identiti individu yang memegang kad berkenaan, sekali gus menimbulkan syak bahawa dokumen tersebut telah dipalsukan atau disalahgunakan.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sumber kad berkenaan serta kemungkinan wujud pihak yang terlibat dalam penghasilan atau pengedarannya. Sekiranya dokumen itu disahkan palsu, kes akan dirujuk kepada agensi penguat kuasa berkaitan untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang.
Dalam operasi yang bermula pada jam 9 pagi itu, seramai 362 warga asing diperiksa membabitkan warganegara Nepal, Bangladesh, Pakistan, Indonesia, Thailand, Kemboja dan Myanmar di 11 lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan warga asing.
Hasil pemeriksaan tersebut, seramai 20 lelaki warga asing berusia antara 30 hingga 60 tahun ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Garry berkata, operasi bersepadu itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh penguatkuasaan terhadap kesalahan imigresen dan membanteras penggunaan dokumen yang meragukan dalam kalangan warga asing di negara ini.
Tiga Lelaki Rohingya Ditahan, Guna Kad UNHCR Disyaki Palsu first appeared on #1 The News Malaysia.