Lelaki Tular Lakukan Aksi ‘Wheelie’ Bersama Isteri dan Anak Ditahan Polis

by Oh! Semput


6
SHARES
81
VIEWS
Posted on 23 Jul 2026 04:31:31

Seorang lelaki berusia 26 tahun ditahan polis selepas rakaman aksinya menunggang motosikal secara berbahaya dengan melakukan aksi wheelie sambil membawa isteri dan anak perempuannya yang berusia empat tahun tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, suspek yang bekerja sebagai operator kilang ditahan kira-kira jam 3.40 petang semalam di pekarangan Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, tindakan itu diambil selepas seorang pegawai polis membuat laporan susulan penularan video berdurasi 17 saat yang memaparkan suspek melakukan aksi berbahaya di Lebuhraya Darul Aman berhampiran Dataran Bandar, Alor Setar.

“Hasil siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku pada 28 Mac lalu ketika suspek dalam perjalanan keluar untuk makan malam bersama isteri dan anaknya,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Syed Basri, siasatan awal turut mendapati lelaki terbabit menunggang motosikal dengan cara yang boleh membahayakan keselamatan dirinya, pembonceng serta pengguna jalan raya lain.

Suspek direman selama sehari bagi membantu siasatan sebelum dijangka dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu atau menunggang secara melulu dan membahayakan orang awam.

Polis sekali lagi mengingatkan orang ramai agar tidak menjadikan jalan raya sebagai lokasi melakukan aksi berbahaya, lebih-lebih lagi apabila melibatkan penumpang termasuk kanak-kanak, kerana perbuatan sedemikian boleh mengundang risiko kemalangan dan mengancam nyawa semua pihak.

Lelaki Tular Lakukan Aksi ‘Wheelie’ Bersama Isteri dan Anak Ditahan Polis first appeared on #1 The News Malaysia.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts