by Oh! Semput
Samsung Z Fold8 yang dilancarkan dua hari lalu sedang tular di media sosial. Banyak video memuji skrinnya yang unik serta saiznya yang kompak. Tetapi adakah video yang anda lihat benar-benar ikhlas? Betulkah Z Fold8 ialah peranti Fold terbaik di pasaran? Apakah pula kekurangan yang ada? Dalam artikel ini saya mendedahkan realiti sebenar menggunakan Z Fold8 selepas digunakan selama 48 jam. Yang baik kita puji yang kurang kita dedahkan.

Rekaan tubuh Galaxy Z Fold8 memang aneh dan tidak konvensional. Ia amat mirip pengalaman saya menggunakan Oppo Find N, Blackberry Passport dan LG Optimus Vu beberapa tahun lalu. Anda akan memerlukan masa beberapa hari untuk selesa menggunakan telefon yang lebih lebar tetapi juga lebih pendek.
Ia amat selesa dalam poket seluar kerana walaupun sebuah peranti lipat, ia masih ringan. Tidak juga mengambil ruang besar dalam poket. Oppo Find N yang saya ulas lima tahun lalu saiznya sama tetapi JAUH lebih tebal (15.9 vs 9.7 mm). Z Fold8 pada hemat kami ialah telefon paling selesa digunakan sebelah tangan sejak iPhone 4S. Kecil tetapi boleh dibesarkan menjadi tablet apabila diperlukan.

Saya gemar membaca ebuku dan ekomik dalam Z Fold7 yang sama gunakan sejak tahun lalu. Skrin besar membolehkan saya membaca tanpa perlu memakai cermin mata rabun dekat. Komik juga boleh dinikmati sepenuhnya kerana skrin besar. Tetapi pada Z Fold7, terdapat palang hitam besar di kiri dan kanan apabila membaca komik. Ini bukan isu pada Z Fold8 kerana nisbah skrin 4:3 dan 16:10 yang digunakan hampir sama dengan saiz komik/manga yang dibaca.
Begitu juga apabila membaca ebuku kerana saiz skrin Z Fold8 adalah seperti saiz buku kecil. Dengan keterangan mencecah 3000 nits, akhirnya ebuku boleh dibaca dengan jelas walaupun di bawah cahaya matahari yang terang. Pada panel lipat sebelum ini, saya suka membaca ebuku di luar rumah.

The Odsyssey sedang tular di media sosial kerana golongan “peminat sinema sebenar” mengatakan ia hanya boleh ditonton dengan betul pada skrin IMAX. NIsbah skrin IMAX 70mm (yang tiada di Malaysia) ialah pengalaman menonton paling agung. Kita tiada peranti IMAX tetapi skrin 4:3 (1.33:1) Z Fold8 adalah yang paling hampir dengan nisbah 1.43:1 IMAX 70mm. Maka secara teorinya jika The Odyssey ditawarkan di platform penstriman kelak, hanya Z Fold8 boleh memaparkankanya dalam nisbah sehampir mungkin dengan IMAX.
Menonton kandungabn video YouTube, Netflix, Disney+, HBO Max dan banyak lagi pada skrin utama 7.6″ Z Fold8 juga lebih imersif berbanding peranti lipat Fold lain kerana palang hitam yang kecil. Menonton video dengan lama juga tidak melenguhkan tangan kerana Z Fold8 ialah telefon lipat jenis Fold paling ringan di dunia sekarang. Bonus terdapat sokongan resolusi HD dan paparan HDR10+ pada kedua-dua skrin menerusi Widevine L1.

Kecil-kecil cili padi kerana Z Fold8 dilengkapi cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 yang sama dengan Z Fold8 Ultra. Tiada kompromi dalam kemampuan gaming pada skrin kecil atau besar. Saya luar sangat serasi. untuk bermain Sudoku, Wordle atau emulator NES/SNES/Megadrive/PlayStation. Dalam mod emulator, Z Fold8 boleh dimainkan seperti sebuah Gameboy atau pelbagai peranti emulator seperti yang dikeluarkan Ayaneo.
Dengan cip mercu, permainan moden COD Mobile, Wuthering Waves, PUBG Mobile, Genshin dan banyak lagi boleh dimainkan tanpa sebarang isu pada tetapan paling tinggi. Walau pada tetapan tinggi dan sesi permainan yang panjang peranti hanya suam-suam sahaja. Sama sahaja prestasi seperti pada Galaxy S26 Ultra tetapi dengan skrin yang lebih besar. Z Fold8 boleh menjadi konsol mudah alih tanpa kompromi.

Kerana skrin luar yang lebih lebar, ia menjadikan proses menaip sangatlah mudah. Sama selesa seperti menggunakan Blackberry Passport cuma tanpa papan kekunci fizikal. Lebih selesa berbanding menaip pada skrin luar Z Fold7, Z Fold8 Ultra, Magic V6 dan Find N6.
Malahan ia sebenarnya lebih selesa digunakan berbanding S26 Ultra. Ruang lebih lebar membolehkan dua tangan menaip dengan pantas. Ini baru skrin luar. Apabila dibuka, papan kekunci yang terpisah dua (split keyboard) menjadikan proses menaip semakin selesa. Jika anda kaki meninggalkan komen di X, Facebook dan Reddit, Z Fold8 ialah mesin menaip yang tidak menyeksa tangan.

Kemampuan multi tugas sebenar dan pantas adalah antara sebab utama peranti jenis Fold popular sejak diperkenalkan pada tahun 2019. Dengan versi ke lapan, kemampuan multi tugas telah ditambah baik. Z Fold8 boleh memaparkan tiga aplikasi serentak secara menegak secara sebelah menyebelah seperti yang boleh dilakukan peranti Honor dan Oppo. Ia kemudian boleh menyusun sendiri tiga aplikasi ini dalam konfigurasi 1 kotak besar dan 2 kotak kecil seperti versi terdahulu sekiranya perlu.
Taskbar pada bahagian bawah skrin adalah mirip taskbar macOS dan Windows 11. Menukar aplikasi semudah menekan ikon yang terpapar pada taskbar tanpa perlu menekan butang menukar aplikasi. Pendek kata sistem multi tugas yang sudah mantap dipertingkatkan dan kekurangan yang wujud telah ditambah baik.

Ya aneh sekali Flex Mode yang disokong pada Z Fold8 Ultra (dan kesemua model Z Fold terdahulu) tidak disertakan pada Z Fold8. Apabila meletakkan Z Fold8 dalam kedudukan huruf “L” antaramuka mengawal video yang sepatutnya muncul pada skrin bawah tiada pada peranti kompak ini. Pada Z Fold8 Ultra dan model lain Z Fold, butang kawalan kelajuan video, jeda, langkau kedepan/kebelakang dan kualiti akan muncul.
Apabila Z Fold8 cuba diletakkan dalam kedudukan huruf “L”, engsel tidak cukup keras untuk mengekalkan kedudukan. Ini berbeza sekali dengan Z Fold8 Ultra dan Z Flip8 yang teguh kedudukannya kerana ciri Flex Mode ini disokong sejak model pertama lagi. Mengapa engsel Z Fold8 lain daripada yang lain adalah satu misteri.

Akhir sekali kita perlu menyentuh mengenai kamera kerana Z Fold8 ialah peranti berharga lebih RM7000 yang hanya dilengkapi dwi-kamera. Satu lensa sudut lebar dan satu ultra sudut lebar tanpa sokongan telefoto. Trikamera dengan telefoto optikal adalah ciri perlu pada sebuah peranti mercu.
Walaupun gambar yang ditangkap Z Fold8 cantik, zum optikal terhad kepada 2X dan digital pula sehingga 10x sahaja. Kualiti zum digital tidak begitu menakjubkan. Kemampuan fotografi peranti ini sekadar sederhana jika dibandingkan dengan Z Fold8 Ultra, Magic V6 dan Find N6 yang kesemuanya dilengkapi trikamera utama.